Monday, August 23, 2010

Wanita Orang Asal di Luar Bandar, Malaysia


Fiesta Feminista:
Embracing Diversity/Menghayati Kepelbagaian
15-17 Jun 2007, Universiti Malaya

Plenary Session: Saturday, 16 Jun 2007
Wanita Orang Asal di Luar Bandar, Malaysia
Claudia Lasimbang, PACOS Trust


Pengenalan
Orang Asal di Malaysia dikenali sebagai Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak atau Orang Ulu di Sarawak dan Anak Negeri di Sabah.

Bagi masyarakat orang asal, tanah merangkumi keseluruhan persekitarannya termasuk hutan dan sungai.  Tanah merupakan asas kepada adat, budaya dan identiti masyarakat orang asal.  Bagi wanita orang asal, terutamanya mereka yang terpinggir atau terpencil jauh di kampung-kampung, mereka menghadapi masalah besar berkaitan dengan gender.  Sebagai ahli komuniti yang sangat kurang pendedahan, pengertian dan penglibatan terhadap pengurusan dan pembangunan kerajaan berhubung dengan hal tanah, wanita orang asal merupakan golongan yang lebih menderita akibat ancaman dan kesan pemindahan atau pengambilan tanah adat yang mereka duduki.

Kesan Pembangunan Tanah
Wanita orang asal bukan sahaja kehilangan tanah dan kehilangan sumber asli lain seperti sumber makanan, ubatan, air, tanaman dan kayu api untuk menyara hidup keluarga apabila tanah yang mereka duduki dibuka untuk tujuan pembangunan, tetapi juga membawa kesan yang sangat mendalam dan mempengaruhi diri, adat tradisi serta pandangan dunia mereka, budaya dan identiti keseluruhan masyarakatnya.

Dalam masyarakat kampung, wanita orang asal memainkan peranan yang penting sebagai pengeluar makanan dan pentadbir keluarga, pemegang pengetahuan tradisi dan budaya masyarakatnya,  penjaga, pendidik  dan pengasuh kepada generasi muda.

Kehilangan tanah akibat pembangunan tanah secara besar-besaran, mengikis peranan yang sangat penting ini.  Mereka mungkin terpaksa  merubah cara hidup mereka sebagai buruh yang menerima upah yang lebih rendah di skim peladangan kelapa sawit, ladang kayu kertas, sebagai pelayan di kedai-kedai, pekerja kilang atau pembantu rumah di pekan atau bandar.

Ini menjadi punca wanita orang asal kehilangan keyakinan diri, maruah, kekuatan dan kuasa membuat keputusan. Dalam keluarga,  ini menyebabkabkan mereka susah mencari kekuatan untuk melepaskan diri dari tekanan dan situasi keganasan rumahtangga.  Keadaan ini menyebabkan mereka menjadi semakin terpinggir dan sukar untuk menyurakan pendapat, keperluan, keprihatinan dan tuntutan terhadap hak mereka yang sewajarnya.  Pembuatan keputusan penting dan penglibatan aktif dalam komuniti juga tejejas.

Keresahan
Apa yang menjadi keresahan utama wanita orang asal pada masa ini adalah semakin banyak tanah adat mereka diswastakan kepada sektor peladangan dan pembangunan tanah secara besar-besaran serta pewujudan kawasan lindung. 

Kehilangan sumber makanan dan pendapatan bagi menyara hidup dan menampung pendidikan anak-anak mereka apabila tanah mereka diambil atau dirampas untuk tujuan sedemikian sangat membimbangkan.

Amalan penggunaan, pengurusan dan pentadbiran tradisi tanah oleh orang asal dan yang diwajibkan oleh kerajaan masih tidak dapat diselaraskan sehingga hari ini. Kebanyakan tanah adat yang diduduki oleh masyarakat orang asal tidak mempunyai geran tanah seperti yang dikehendaki oleh kerajaan.  Tanah tidak bergeran menyebabkan orang asal sukar atau tidak boleh mendapat apa-apa bantuan subsidi, dana atau mengikuti program pertanian untuk membantu mereka mengusahakan tanaman jualan seperti nenas, pisang, getah atau penghasilan padi.  

Selain perbezaan besar amalan penggunaan, pengurusan dan pentadbiran tanah oleh orang asal, proses pendaftaran dan permohonan tanah yang diwajibkan oleh kerajaan tidak mudah difahami dan diikuti oleh masyarakat orang asal kerana ia memerlukan masa dan belanja pengurusan yang besar untuk ulang-alik ke pejabat tanah.  Ini merupakan keresahan semua masyarakat orang asal di seluruh negara terutamanya mereka yang bergantung penuh kepada tanah sebagai sumber kehidupan.

Tambahan lagi, keadaaan jalanraya, kemudahan infrastuktur dan pengangkutan ayng masih kurang untuk memasarkan hasil tani mereka juga menambahkan keresahan mereka untuk menjadi lebih giat dan mencapai kehidupan yang selesa pada masa kini. 

Semua ini secara langsung mempengaruhi keadaan dan kehidupan wanita orang asal di luar bandar.  Mereka semakin dibebani peranan dan tanggungjawab, semakin kurang keupayaan dan menjejaskan penglibatan dan komitmen penuh dalam aktiviti sama ada anjuran komuniti atau di luar dari kampung mereka.

Aspirasi
Wanita orang asal sangat mementingkan masa depan anak-anak mereka dari segi  pendidikan.  Mereka juga mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan yang baik dan bersesuaian.  Hasrat ini telah mula diperlihatkan melalui penubuhan beberapa pusat pra-sekolah komuniti di kampung-kampung yang terpencil oleh ibu-ibu sendiri dengan bantuan dan sokongan pertubuhan orang asal seperti PACOS Trust di Sabah, BRIMAS, IPDC dan CRE di Sarawak dan SPNS di Semenajung Malaysia.

Mereka juga inginkan perkhidmatan kesihatan yang baik di luar bandar.  Pada masa ini, pusat kesihatan yang ada di luar bandar tidak cukup kemudahan dan kakitangan yang diperlukan.  Walaupun sudah terdapat klinik bergerak, perkhidmatan doktor udara dan beberapa ekpedisi sukarela doktor dan jururawat ke kawasan luar bandar, tetapi ini belum mencukupi.  Selain itu, masih ada keperluan besar untuk mewujudkan sokongan dan pengiktirafan peranan dan sumbangan pakar perubatan tradisi kampung.
Wanita orang asal mempunyai aspirasi untuk meningkatkan pendapatan mereka sama ada berasaskan kepada pengetahuan dan kemahiran tradisi dan sumber agro-perhutanan di persekitaran mereka atau tunjuk ajar dan nasihat baru untuk menjaga dan memajukan pengetahuan, kemahiran dan sumber yang sedia ada dan baru.

Cabaran
Wanita orang asal terutamanya mereka yang jauh di kampung-kampung, kekurangan pengetahuan tentang hak-hak wanita dan kurang keyakinan apabila berdepan dengan masalah atau situasi yang memerlukan penegasan hak.

Kebanyakan wanita orang asal mempunyai tahap pendidikan yang rendah, tinggal jauh di kampung dan tidak mendapat pengiktirafan pengetahuan dan peranan tradisi mereka.  Mereka berasa sukar untuk menjelaskan dan jarang difahami oleh wanita di bandar, mengenai situasi dan cabaran mereka dan bahawa adat, budaya dan identiti merekalah yang merupakan sumber pengetahuan dan kekuatan mereka semasa perundingan dalam situasi baru atau keadaan luar dari kampung.

Selain itu, kekurangan atau kehilangan kuasa ekonomi juga merupakan cabaran wanita orang asal. Generasi muda juga menjadi semakin memandang rendah terhadap cara hidup tradisi orang asal akibat pengaruh luar.  Pandangan dan minat generasi muda yang lebih bercorak individualistik, budaya berkelompok yang menonjolkan identiti mereka tersendiri dan tidak mengambil tahu atau berat tentang pengetahuan dan amalan orang asal merupakan cabaran yang semakin besar dihadapi oleh wanita orang asal sebagai penjaga, pendidik dan pemegang pengetahuan.

Keperluan
Wanita orang asal sangat memerlukan bantuan dan sokongan dari pelbagai pihak terutamanya pertubuhan wanita.  Pendedahan, motivasi, penambahan pengetahuan situasi semasa, hak wanita dan perkongsian cabaran untuk pembentukan keyakinan diri dan kemahiran baru seperti anjuran Fiesta Feminista ini sangat dialu-alukan.

Sokongan dan galakkan dari keluarga, komuniti, kumpulan wanita, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan badan-badan sokongan kerajaan yang lain sangat penting.   Keperluan, peranan dan aspirasi wanita orang asal terutamanya mereka yang jauh terpencil harus difahami terlebih dahulu.  Usaha dan pendekatan yang membawa keluar wanita orang asal di kampung-kampung yang mempunyai keyakinan dan keupayaan bekerja dan berkhidmat ke bandar atau dipinggirkan jika tidak menyahut usaha dan pendekatan itu harus diberi penilaian dan renungan.  Ini kerana wanita-wanita ini memerlukan sokongan, bantuan dan nasihat selanjutnya sebagai pemangkin dan pemberi semangat kepada wanita orang asal yang masih memerlukan pembentukan diri dan kemahiran.

Dana dan layanan yang adil dan saksama kepada wanita orang asal dalam pelbagai situasi merupakan keperluan penting yang harus diberikan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Pengalaman pengurusan projek komuniti yang melibatkan wanita orang asal seperti yang telah diberikan oleh EC UNDP SGP PTF dan GEF SGP Malaysia adalah contoh yang baik.  Melalui dana, latihan, pendedahan, ceramah, bengkel dan peluang pengurusan projek yang bersesuaian di peringkat kampung, wanita orang asal mampu untuk membangun diri dan pasti akan menjadi lebih yakin dan dapat memberi sumbangan penting kepada kemakmuran keluarga, komuniti dan negara secara lebih menyeluruh.


No comments:

Post a Comment