Sunday, August 29, 2010

Agama dan Masyarakat-faktor2 perubahan agama


6.0 Faktor – faktor perubahan agama di kalangan masyarakat pribumi
Masyarakat Orang Asli adalah masyarakat yang masih ketinggalan dalam pelbagai bidang pembangunan. Kajian oleh para penyelidik didapati pendapatan komuniti ini di bawah lingkungan RM350.00. Jumlah ini ditafsir di bawah paras kemiskinan. Hampir 80% daripada komuniti masih miskin. Faktor ini juga mempengaruhi komuniti ini untuk berubah agama kepada agama moden (Islam dan Kristian).  Ramai pendakwah Islam dan mubaligh Kristian telah mendekati masyarakat ini. Golongan ini bukan sahaja mendakwah tetapi juga memberi bantuan kewangan dan material bagi menarik golongan ini memeluk agama yang mereka bawa. Mubaligh Kristian bijak menyedari kelemahan masyarakat ini berbanding pendakwah Islam walaupun mendapat tajaan daripada kerajaan. Mubaligh Kristian mempunyai dana yang banyak untuk keperluan dakwah kepada masyarakat ini.
      Pemodenan institusi pendidikan telah mendorong perubahan pemikiran bukan sahaja tentang pembangunan material tetapi juga aspek kepercayaan. Golongan pribumi yang mempunyai pendidkan cenderung untuk memilih agama baru sama ada Islam atau Kristian bergantung kepada situasi dan persekitaran. Pergaulan dengan rakan pelajar Islam telah mendorong mereka memahami Islam dan memeluk Islam. Hal ini berlaku kerana pelajar ditempatkan di asrama yang disediakan semasa persekolahan peringkat Menengah. Di Perak, mubaligh Kristian telah banyak mendirikan sekolah aliran agama ini untuk tujuan pengajaran yang lebih efektif kepada komuniti Semai. Institusi pendidikan melahirkan masyarakat pribumi yang multiagama.
      Peranan badan – badan keagamaan juga memainkan peranan yang penting sama daripada pihak kerajaan atau NGO dalam menggerakkan penyebaran agama. Islam sebagai agama rasmi Malaysia mempunyai institusi agama seperti  JAKIM  dan PERKIM serta NGO seperti ABIM yang sentiasa berusaha untuk menyebarkan agama Islam kepada penduduk pribumi. Kristian juga tidak kalah apabila juga mempunyai badan – badan keagamaan tersendiri bermula daripada penjajahan British sampai masa kini. Antaranya kumpulan pendakwah society of the foreign missions of paris sehingga kepada kumpulan Sidang Injil Borneo ( SIB ). Keadaan ini mewujudkan persaingan antara mubaligh Kristian dan Islam dalam menyebarkan agama mereka di kalangan masyarakat pribumi.
      Adalah sesuatu yang penting dan bermakna apabila perubahan agama juga disebabkan kebenaran agama itu. Kemajuan institusi pendidikan telah membuka minda Orang Asli untuk memikirkan secara rasional apa yang berlaku di dunia termasuk dalam aspek keagamaan. Mereka mula memikirkan aspek siapa pencipta dunia akibat kekosongan jiwa yang mereka hadapi atau sebagai tempat bergantung harapan. Agama tradisional tidak dapat meleraikan tekanan yang mereka hadapi. Shamans atau Tok Halak tidak memberi jawapan dengan persoalan hidup. Akhirnya dengan kedatangan agama baru (Islam dan Kristian) yang memberi penekanan tentang tatacara hidup dengan kasih sayang dan mengutamakan kebajikan serta kerjasama atau persaudaraan membuka hati mereka untuk berubah agama. Mereka mula percaya Tuhan yang satu dan Nabi Muhammad S.A.W (Islam) dan percaya bahawa salib itu lambang Nabi Isa a.s atau Jesus Kritus telah dibunuh (Kristian).
      Agama juga digunakan sebagai alat politik iaitu hak untuk menyuarakan pendapat dan juga memenuhi harapan golongan tertentu masyarakat pribumi ini. Komuniti ini adalah golongan yang terpinggir dan minoriti dalam aspek politik. Sesetengah masyarakat Orang Asli memeluk agama Islam untuk tujuan mendapat perhatian dan pembelaan daripada pihak kerajaan iaitu UMNO (United Malays National Organization). Di kalangan kelompok masyarakat ini ada yang menubuhkan cawangan parti-parti untuk tujuan menyuarakan pendapat tentang hak – hak Orang Asli. Orang Kristian pula mempunyai badan seperti Center for Orang Asli Concerns (COAC) bagi menjaga kebajikan dan kepentingan Orang Asli daripada tertindas.
* kertas kerja, ums 2008

No comments:

Post a Comment