Sunday, August 29, 2010

Agama dan Masyarakat-Islam dan Kristian


4.0 Agama Islam
Penyebaran Islam di kalangan Orang Asli sebelum kemerdekaan Malaysia pada era 1950-an tidak berapa jelas kerana ketika itu istilah Orang Asli belum lagi diperkenalkan oleh pihak pemerintah. Zaman Feudal Kesultananan Melayu, istilah “Orang Darat” dan “Sakai” digambarkan kepada masyarakat Orang Asli. Kedua – kedua konotasi ini membawa maksud menghina, hamba dan “manusia separa haiwan”.  Hasan Mat Nor ( 2001 ), merujuk kepada tanggapan masyarakat Melayu terhadap Orang Asli sebagai kafir. Dalam Islam perkataan kafir digambarkan sebagai musuh Islam. Jadi secara tidak langsung Orang Asli digambarkan musuh orang Islam dan ini menyebabkan tidak ada usaha dakwah Islam kepada masyarakat pribumi ini.
      Penyebaran Islam dalam masyarakat Orang Asli bermula selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, barulah terdapat sedikit usaha yang di lakukan oleh pihak – pihak tertentu terutamanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang bekerjasama dengan PERKIM (Perkembangan Kemajuan Islam Malaysia), JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan NGO (Badan-badan bukan kerajaan)  antaranya ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia). Selain itu, perkembangan bidang pendidikan dalam masyarakat ini juga antara faktor Islam mudah meresap di kalangan pelajar Orang Asli. Kerjasama antara JHEOA dengan PERKIM telah melahirkan institut seperti Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli  (PERTAMA) yang terletak di Kuantan, Pahang. Institut ini diwujudkan dengan tujuan memberi pengajaran dan pembelajaran yang mendalam tentang agama Islam di kalangan Orang Asli. Perubahan sikap dan pemikiran orang Melayu juga menyebabkan Islam dapat disebarkan kepada Orang Asli secara tidak langsung melalui hubungan persahabatan dan kegiatan ekonomi serta perkahwinan campur antara etnik ini (Dodge, 1984).

5.0 Kristian
Berbanding dengan Islam, penyebaran agama kristian di kalangan Orang Asli bermula pada tahun 1841, di mana seorang Paderi dari Perancis yang dikenali sebagai Fr. M. Borie telah menjalankan kegiatan mubaligh pada penduduk Pribumi dalam kumpulan Matra (Temuan) yang terletak di Ayer Salak (Melaka). Kumpulan pendakwah Kristian yang dikenali sebagai Society of the Foreign Mission of Paris adalah kumpulan yang disertai oleh Borie dengan tujuan utama untuk “menjinakkan manusia liar” melalui dasar perkhidmatan kemanusiaan yang diwujudkan khas untuk masyarakat Orang Asli. (Hasan Mat Nor 2001)
Penyebaran agama Kristian ke seluruh dunia berlaku selepas Perang Salib pada abad ke 11 hingga 13 Masihi telah memberi kesan dalam penyebaran Kristian di Malaysia khususnya dan Orang Asli amnya. Pada tahun 1889, Dr. H. L. Leuring, seorang mubaligh Methodist yang pertama menguasai Bahasa Semai dalam usaha menyebarkan agama ini dalam masyarakat Pribumi di Ulu Kampar Perak. Means & Means (1981), menyatakan Alexander Simanjuntak (orang Batak dari Sumatera, Indonesia), mubaligh pertama tinggal bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Batu 16 Cameron Highland, Pahang. Cara ini dilakukan selain untuk berdakwah agama tetapi juga untuk mengajar ilmu pengetahuan tentang cara pertanian yang betul kepada penduduk kampung itu. Pendekatan ini adalah untuk cuba memenangi hati Orang Asli dengan teladan yang baik dan sikap yang mesra.
Pada era 2000 kini, terdapat kumpulan mubaligh Kristian yang terdiri daripada Bumiputra Sabah iaitu kumpulan Sidang Injil Borneo (SIB) dan Seven Day Advantage (SDA) yang melebarkan sayap menyebarkan agama Kristian kepada masyarakat Orang Asli suku Jahut di Temerloh, Pahang. Pada tahun 2003, terdapat dua buah gereja yang telah didirikan di Kampung Galong dan Kampung Pasu. Penyebaran agama Kristian cepat merebak kerana kebijaksanaan mubaligh yang pandai mengambil hati, suka memberi bantuan dan budaya yang agak sama dengan kebudayaan masyarakat Orang Asli.

No comments:

Post a Comment